Nasib Anggota Tujuh Koperasi Akan Dibela, Kata Noh Omar
MUAR, 20 Dis (Bernama)-- Nasib 8,000 anggota tujuh buah koperasi, termasuk empat yang tidak berdaftar dan asetnya dibekukan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Selasa lepas akan dibela, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Noh Omar.
Katanya mereka akan diberi dua pilihan iaitu sama ada bersetuju meneruskan pelaburan mereka setelah koperasinya didaftarkan secara sah mengikut undang-undang atau menerima balik baki wang pelaburan yang berbaki dalam bank koperasi terbabit.
"Kita berharap ahli-ahli koperasi ini bersabar kerana kita sedang berusaha melantik pentadbir yang akan mentadbir aset koperasi berkenaan dan SKM sedang memikirkan cara paling berkesan membantu mereka," katanya selepas melancarkan Program Gerak Usahawan daerah Muar di sini, Rabu.
Selasa lepas, pegawai-pegawai SKM dan Bank Negara Malaysia (BNM) menyerbu pejabat tujuh buah koperasi serta bertindak membekukan akaun atau kesemua hartanya setelah didapati menjalankan aktiviti bertentangan dengan Akta Koperasi 1993.
Noh berkata empat daripada koperasi itu iaitu Koperasi Nabinco, Koperasi Gagasan Berjaya Enterprise, Koperasi Usahawan Siswazah Gagasan dan Koperasi Siswazah Islam Malaysia adalah koperasi palsu yang tidak didaftarkan dengan SKM.
Katanya SKM mengesan syarikat dan individu tertentu menggunakan nama koperasi itu untuk mengelirukan orang awam dengan menawarkan peluang perniagaan, pelaburan dan kemudahan pinjaman yang boleh memberi pulangan antara lapan hingga 12 peratus sebulan.
Menurut beliau, hasil risikan SKM mendapati koperasi itu didapati tidak wujud dan tidak berdaftar dengan SKM serta alamat operasi yang diiklankan juga didapati palsu.
Noh berkata tiga buah lagi koperasi yang dikenakan turut tindakan yang sama ialah Koperasi Taqwa Malaysia Berhad (KOTAQWA), Koperasi Usahawan Malaysia Berhad (KUMB) dan Koperasi Birr Berhad.
Koperasi-koperasi itu, katanya telah menjalankan skim pelaburan yang dikenali Skim Simpanan Khas Al-Mudharabah dan Skim Usahawan Ternakan yang menawarkan pulangan lumayan antara lapan hingga 12 peratus sebulan atas pelaburan modal.
"Bagi meyakinkan orang awam menyertai skim ini, mereka telah melakukan pelbagai cara untuk memperdayakan para pelabur. Mereka mendakwa melaksanakan projek-projek pembekalan seperti bekalan alat ganti kapal, ternakan lembu, penanaman rumpai laut, penangkapan ikan laut dalam dan pembekalan barangan pengguna.
"Tindakan koperasi itu mengutip pelaburan bercirikan skim cepat kaya adalah satu kesalahan di bawah Akta Koperasi 1993," katanya sambil berkata ada pelabur melaburkan wang mereka antara RM20,000 hingga RM50,000 dalam skim tersebut.
Noh juga berkata selain daripada ketujuh-tujuh buah koperasi berkenaan, pihaknya kini turut menyiasat dua buah lagi koperasi yang didakwa menjalankan aktiviti yang sama.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata beliau bimbang jika kegiatan mereka yang tidak bertanggungjawab itu tidak dibanteras, ia boleh menggugat matlamat kementerian untuk mewujudkan 10,000 buah koperasi menjelang 2013 kelak.
Bagaimanapun, katanya jika dibanding dengan jumlah 5,700 buah koperasi yang ditubuhkan setakat ini, jumlah tersebut adalah terlalu kecil dan matlamat kementerian ialah mahu meningkatkan kadar sumbangan aktiviti koperasi dalam Keluaran Dalam Negara Kasar daripada satu peratus sekarang kepada kadar yang lebih munasabah.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment