Boikot produk luar, bantu ekonomi tempatan
Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
MELAKA 11 Jan. - Masyarakat di negeri ini perlu mengubah gaya hidup mereka dengan mengutamakan barangan tempatan dan tidak lagi membeli produk import dalam usaha merancakkan ekonomi negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan dan Pengguna negeri, R. Perumal berkata, langkah itu penting dalam memastikan ekonomi tempatan tidak terjejas ekoran daripada keadaan ekonomi dunia yang semakin meruncing.
"Ia juga bertepatan dengan isu semasa apabila rakyat memboikot produk import dari Amerika Syarikat (AS) dan Israel sebagai tanda protes terhadap kekejaman rejim tersebut.
"Jadi, sekarang kita sudah mempunyai sebab yang lebih kukuh untuk menyokong produk tempatan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, beliau juga memuji langkah pelbagai badan kerajaan termasuk bukan kerajaan yang bertindak memboikot produk negara-negara luar lain yang bersekutu dengan Israel dan AS.
"Selain mendermakan wang ringgit, menggunakan produk tempatan juga merupakan satu cara untuk menunjukkan tanda prihatin dan simpati kita kepada rakyat Palestin.
"Malah di Melaka sahaja, kita ada mengeluarkan pelbagai jenis produk makanan dan tidak perlu lagi kita berkunjung ke restoran makanan segera," katanya.
Selain itu, tambah beliau, kempen membeli produk tempatan yang akan dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada 16 Januari ini juga merupakan satu tindakan yang tepat.
"Pengguna tidak perlu terlalu membanggakan kualiti yang diimport kerana barangan tempatan sekarang juga kebanyakannya sudah setanding dengan negara luar dan harganya jauh lebih murah," katanya.
No comments:
Post a Comment