Selangor meneruskan rentak cemerlang dalam saingan bola sepak Liga Super untuk menyusuli langkah kanan musim 2009 ketika menjulang Piala Sultan Ahmad Shah, Sabtu lalu apabila menewaskan Perak 3-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Safee Sali, Amirulhadi Zainal dan Nasriq Baharom memastikan tiga mata dalam genggaman Gergasi Merah dengan gol pada minit ke-30, 62 dan 85 biarpun mereka tersentak awal dengan jaringan pendahuluan Seladang menerusi Razali Umar Kandasamy (m-28).
Dalam pada itu, juara bertahan Liga Super, Kedah pula terus merana selepas dibelasah Negeri Sembilan 0-3 dalam perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.
Kemenangan menerusi jaringan sumbangan Shukor Adan (m-33), Zaquan Adha Razak (m-39) dan K. Thanaraj (m-59) itu membolehkan Negeri Sembilan mengekori rapat Selangor.
Di Stadium Utama Negeri Kangar, Perlis turut mencatat kemenangan kedua berturut-turut selepas bangkit daripada ketinggalan sebelum menang ke atas Pahang 3-2 hasil hatrik pemain Perlis, Nizaruddin Yusof (m-40, 45, 87) manakala Mohd. Azamuddin Md. Akil (m-9, 24) mengurangkan jurang gol.
Kelantan pula mengejutkan UPB-MyTeam 4-2 pada perlawanan di Stadium Petaling Jaya untuk mencatat kemenangan sulung mereka musim ini selepas perlawanan dengan KL PLUS Sabtu lalu tertangguh akibat hujan.
KL Plus juga menang 2-1 ke atas Terengganu pada perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras.
Begitu juga dengan Kuala Muda Naza yang menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 1-0 di Stadium Darul Aman Alor Star.
Hanya satu keputusan seri dicatat semalam membabitkan perlawanan Johor FC dan Pulau Pinang yang terikat 2-2 di Stadium JCorp Pasir Gudang.
No comments:
Post a Comment