Saturday, February 2, 2008

KB MALL


KB Mall terpilih sebagai kompleks membeli belah terunggul di Malaysia mengatasi kompleks membeli belah terkemuka di seluruh negara dalam majlis anugerah "Retail Development"(kategori kompleks membei belah) yang diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di Shah Alam pada 27 Oktober lalu.

Kejayaan tersebut juga melayakkan kompleks membeli belah yang berpusat di Kota Bharu itu mewakili Malaysia untuk pertandingan kompleks membeli belah terunggul yang akan diadakan di Belanda pada Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Perpaduan Masyarakat, Dato’ Anuar Tan mengumumkan kejayaan tersebut dalam sesi penggulungan Perbahasan Menyokong Titah Ucapan Sultan Kelantan dalam Persidangan Kali ke 3 (Belanjawan) bagi tempoh penggal ke 4 Dun Kelantan.

Beliau menyifatkan pencapaian ini adalah pencapaian luar biasa kerana KB Mall dapat mengatasi kompleks membeli belah terkemuka di Kuala Lumpur seperti Sogo, Suria KLCC, Lot 10.

"Sewaktu urusetia majlis tersebut menalefon saya bagi pengesahan kehadiran, saya tidak sangka kita akan menerima anugerah seumpama itu kerena pengumuman anugerah hanya diumumkan pada malam tersebut," katanya.

Jelasnya, antara kriteria KB Mall dipilih sebagai pusat membeli belah terunggul kerana jumlah pengunjung teramai pada 2005, jumlah nilai perniagaan yang tertinggi serta sumbangannya kepada sektor pelancongan di Malaysia.

Anuar turut menyebut juri yang terlibat dalam penilaian bagi anugerah tersebut. Antara juri yang terlibat daripada tujuh orang juri tersebut ialah Tan Sri Kamarul Ariffin Mohd Yasin, Dato’ Seri Megat Tajuddin dan Dato’ Nafsiah Omar. Anugerah tersebut disampaikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah

Jelasnya lagi, walaupun majlis tersebut turut dihadiri ramai wartawan, mungkin disebabkan Kelantan menerima anugerah kompleks membeli belah terunggul, berita mengenainya tidak diketengahkan oleh media.

Katanya lagi, pada majlis yang dihadiri kira-kira 3000 tetamu itu hanya Kelantan dihadiri oleh wakil exco kerajaan negeri.

"Sewaktu Kelantan diumumkan sebagai pemenang, semua hadirin bertepuk tangan, kira-kira lima minit. Saya pun hairan kenapa kita mendapat tepukan yang begitu gemuruh.

"Saya berpendapat ini merupakan pencapaian yang amat baik. Dan pada bulan hadapan ‘wau bulan’(simbol KB Mall) akan terbang ke Belanda dan Kelantan akan dikenali dalam peta pelancongan di Malaysia.

"Kita berpijak di bumi yang nyata dan jangan terlalu berangan-angan. Biarlah apa yang kita lakukan itu untuk rakyat seluruhnya"katanya.

Sementara itu, sewaktu ditanya oleh Speaker sama ada pihak KB Mall akan mengadakan majlis bagi meraikan kejayaan tersebut, jelas Anuar, majlis tersebut akan diadakan dalam suasana meriah.

"Pihak pengurusan KB Mall telah menyampaikan kepada saya, majlis tersebut akan menjadi satu majlis yang ‘grand’ dan dijemput semua rakyat Kelantan untuk meraikannya," katanya yang disambut tepukan gemuruh ahli Dun yang lain.

Sumber - Harakah

No comments:

Post a Comment